Powered by Blogger.

Isu banjir Selangor : Minta selesai masalah banjir di Kg. Sungai Kertas?

Friday 30 November 2012

Mangsa banjir, Zul Akmal Ali melakukan kerja-kerja pembersihan di hadapan rumahnya daripada lumpur selepas kejadian banjir malam kelmarin, di Kampung Sungai Kertas, Selangor, semalam.

Mangsa banjir di Kampung Sungai Kertas, Gombak di sini meminta pihak berwajib segera mencari jalan penyelesaian masalah banjir lumpur yang melanda kawasan itu malam, semalam.

Seorang mangsa yang juga Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Sungai Kertas, Abdul Wahab Sulaiman berkata, kejadian banjir itu telah meninggalkan kesan kepada mereka sekeluarga kerana ia merupakan kejadian kedua terburuk dalam tempoh empat tahun.

"Banjir semalam telah menyebabkan semua peralatan elektrik kami rosak.

"Tanah lumpurnya bukan tanah biasa tetapi tanah liat," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, kejadian tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan paras air sungai di Empangan Batu meningkat dan tanah yang datang daripada projek perumahan berdekatan kediaman mereka.

"Tanah-tanah yang terdapat di kawasan projek itu mengalir bersama limpahan air sungai lalu mengakibatkan banjir lumpur,"katanya.

Bagi Siti Khadijah Sulaiman, 58, pula berkata, sebelum ini kampung mereka pernah beberapa kali dilanda banjir kilat.

"Apa yang mengejutkan kali ini banjir disertai lumpur dan ia amat menyulitkan kami untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,"katanya.

Peniaga kedai runcit, Siti Khamimah Jamil, 50 pula memanjatkan rasa syukur kerana kejadian banjir semalam tidak banyak merosakkan barang-barang perniagaannya.

"Kami berharap kejadian banjir kilat bersama lumpur biarlah yang terakhir dan berharap pihak bertanggungjawab mencari jalan agar tidak berulang,"katanya.

Tinjauan di Kampung Sungai Kertas di sini mendapati penduduk sibuk membersihkan kediaman masing-masing daripada lumpur yang dibawa banjir semalam.

Semalam, hujan lebat pada lewat petang telah mengakibatkan banjir kilat berlaku di beberapa kampung berhampiran.

Antaranya, Kampung Nakhoda, Kampung Laksamana, Kampung Sungai Tua Gantian dan Kampung Ulu Yam Bharu.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP