Powered by Blogger.

Skandal Talam: Khalid Gagap Terus Bermain Silap Mata Untuk Mengelirukan Rakyat

Friday 7 September 2012


Kenyataan Menteri Besar, Khalid Ibrahim berhubung isu TALAM sebenarnya menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan. Hakikatnya, siasatan oleh pihak audit bebas hanya menyemak transaksi urusniaga dan dokumen yang berkaitan sahaja.

Apa yang lebih penting, pihak auditor sendiri mengakui, penelitian dan pemeriksaan oleh mereka langsung tidak melibatkan pendedahan dan persoalan yang didedahkan oleh pihak Barisan Nasional Selangor sebelum ini.

Sebagai Pembangkang di Negeri Selangor dan atas prinsip demokrasi, kami masih lagi tidak berpuas hati dengan penjelasan ringkas yang disampaikan oleh pihak MB Selangor tersebut. Malah, ugutan untuk mengambil tindakan mahkamah jika perkara ini terus dibangkitkan menunjukkan bahawa masih ada perkara yang cuba disembunyikan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, saya ingin bertanya kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri, jika benar pihak auditor telah menjalankan tugas mereka, kenapa Menteri Besar masih belum mengeluarkan sebarang laporan audit seperti yang dijanjikan sebelum ini? Saya juga masih menuntut untuk pihak Kerajaan Negeri mengeluarkan Kertas Putih seperti yang beliau sendiri janjikan sebelum ini.

Menteri Besar juga mengakui bahawa ianya bukanlah satu proses ‘bailout’ tetapi proses pemulihan hutang, namun begitu pihak kami telah mendedahkan sebelum ini bahawa Kerajaan Negeri melalui anak syarikat mereka telah membelanjakan wang yang besar untuk membeli aset-aset TALAM bagi tujuan penghapusan hutang. Adakah pembelian aset terhadap TALAM ini bukan satu proses bailout? Kenapa pihak Kerajaan Negeri langsung tidak melantik auditor untuk menyiasat perkara ini sebaliknya hanya untuk menyemak transaksi sahaja?

Menteri Besar juga sepatutnya bersetuju untuk menerima cadangan Barisan Nasional supaya ditubuhkan Jawatan Kuasa bagi melaksanakan siasatan secara terbuka kerana banyak persoalan yang masih memerlukan jawapan.

Dalam FAQ yang disediakan juga, pihak Kerajaan Negeri langsung tidak menyentuh mengenai tanah bawah air (underwater land) yang dibeli dari pihak TALAM di beberapa tempat seperti di Bestari Jaya dan Danau Putra yang dikatakan lebih tinggi dari nilai sebenar. Persoalannya, kenapa pihak Kerajaan Negeri tidak melantik penilai (evaluator) untuk menilai tanah tersebut? Dalam pendedahan terbaru oleh MCA, dua kes berbeza di Bukit Beruntung 2 dan Ulu Yam, Kerajaan Negeri juga didakwa membeli tanah tersebut dengan nilai yang lebih tinggi dari harga yang ditaksirkan. Adakah ini bukan bailout? Bolehkah pihak auditor mengesahkan perkara ini juga sebenarnya merupakan satu urusniaga yang bersih dan tidak meragukan?

Kenyataan Menteri Besar sebenarnya masih belum menutup isu ini sepenuhnya. Memandangkan pihak auditor sendiri mengakui bahawa tiada sebarang audit atau semakan dibuat terhadap pendedahan yang kami buat, maka hakikatnya isu ini masih belum selesai.

Sehingga laporan penuh dikeluarkan, kami tetap akan memberi penjelasan dan penerangan berhubung pendedahan sebelum ini supaya rakyat Selangor tidak terpedaya dengan ‘silap mata’ yang cuba dimainkan oleh pihak Menteri Besar dan Kerajaan Negeri.

Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed
Koordinator BN Selangor

Sumber : Cucu Tok Selampit

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP