Powered by Blogger.

GPRS : Rakyat Selangor Berhak Tuntut Janji Air Percuma

Tuesday 11 September 2012


KUALA LUMPUR, 11 Sept - Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Dato Sohaimi Shahadan berkata saman ke atas tuntutan air percuma yang dilakukan oleh 711 penduduk adalah berdasarkan kepada janji Pakatan Rakyat dalam manifesto PRU 12 yang lalu.

Beliau memberitahu mereka berhak menuntut janji air percuma kerana kerajaan negeri melalui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjanji semasa dan selepas memenangi pilihanraya umum lalu dan bersetuju memberikan 20 meter padu atau RM11.40 kepada pengguna air di negeri itu.

"Yang memfailkan saman ini adalah dikalangan mereka yang tertindas dan dianiayai oleh kerajaan negeri kerana tidak mendapat air percuma seperti yang dijanjikan seperti 20 meter padu ataupun nilainya ialah RM11.40" katanya sebagai mengulas tindakan saman 711 penduduk di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.

"Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dan melunaskan janji dalam manifesto yang mereka buat dalam pilihan raya yang ke 12".

"Kerajaan negeri seharusnya perlu adil dan sama rata dalam memberikan air ini kepada semua rakyat (Selangor) tanpa mengira sama ada mereka ini menghuni di rumah flat, pangsapuri, kondominium mahupun rumah banglo," katanya.

Beliau berkata apa yang berlaku pada hari ini adalah manifestasi rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan negeri setelah menyokong dan mengundi Pakatan Rakyat yang menjanjikan air percuma sepertimana yang dijanjikan dalam Manifesto PRU 12.

Penduduk yg kebanyakannya menghuni rumah flat, kondomunium, dan pangsapuri itu, hari ini meluahkan rasa tidak puas hati kepada Kerajaan Selangor diatas tidak memperdulikan kepentingan dan nasib penghuni negeri Selangor itu.

Sohaimi turut memberitahu pasti ada lagi rakyat Selangor yang akan mengambil tindakan sama terhadap kerajaan negeri.

Beliau turut melahirkan rasa kehairanan dengan tindakan kerajaan negeri yang memberikan air percuma kepada flat kos rendah melalui kupon hanya bermula pada tahun 2011. "Bagaimana dengan bayaran yang telah dilakukan penduduk flat kos rendah ini sebelumnya. Tidakkah mereka juga berhak dibayar kembali atas janji air percuma ini?"

Pengerusi GPRS ini turut menegaskan sebanyak 1,378 meter pukal dibawah kategori kod 17 dan 18 bagi pangsapuri dan kondominium seluruh Selangor (tidak termasuk dikira unit rumah setiap pangsapuri dan kondominium) berhak mendapat air percuma ini.

Sohaimi berkata jika dikira secara purata 500 rumah (bagi setiap pangsapuri dan kondominium), maka jumlah akaun yang turut layak mendapat air percuma adalah sebanyak 689,000 unit.

Secara kasar, kerajaan negeri Selangor dianggarkan berhutang kepada pemegang akaun air yang layak mendapatkan bekalan air percuma ini berjumlah RM392,730,000.

Beliau berkata mereka ini juga layak menuntut bayaran ganti rugi bagi hutang air percuma sebanyak RM570 (bagi setiap rumah) sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum lalu.

"Mereka (penghuni) tak minta lebih, mereka tak minta kurang, mereka minta hak mereka, hak patut yang mereka dapat dalam manifesto yang dijanjikan hak sebagai rakyat negeri Selangor.
"Soal meter pukal bukan isu, kerajaan negeri hari ini terlalu bersandarkan kepada isu meter pukal. Soalnya adalah janji yang ditaburkan dalam manifesto pilihanraya umum lalu. Rakyat kini menuntut janji sebagaimana yang dijanjikan," katanya.- Klpos.com

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template On The Road by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP